Dalam kiraan kasar hari bekerja, waktu boleh dibahagikan kepada tiga (3) bahagian, 8 jam waktu bekerja, 8 jam waktu untuk aktiviti peribadi dan 8 jam untuk waktu rehat.
Tetapi ianya tidak menjadi seperti yang diperuntukkan kerana setiap orang mempunyai komitmen yang berbeza. Misalnya ada yang perlu kerja sehingga 16 jam sehari!
Mencari kehidupan seimbang adalah berbeza bagi setiap orang. Tidak ada satu formula khas yang sesuai untuk dipadankan kepada semua orang. Maka di sini kami berkongsi beberapa tips untuk mencapai gaya hidup yang lebih memberansangkan dan seimbang.
Tips Kehidupan Seimbang
- Makan makanan sihat dan bertenaga
- Makan makanan yang kaya dengan anti-oksida dan protein. Makanan yang rendah gula, lemak dan karbohidrat masih mampu memberi tenaga yang secukupnya untuk aktiviti harian anda.
- Ikan dan rumpai laut (kaya dengan omega-3 dan protein)
- Sayur-sayuran hijau seperti asparagus, brokoli, bayam dan ulam-ulaman
- Buah-buahan seperti nenas, pisang dan epal
- Kekacang dan bijirin
- Pemakanan yang tidak sihat kelak akan membuatkan anda cepat letih, lemah dan cepat mengantuk sebaik sahaja anda pulang dari kerja. Aturan tidur yang tidak terkawal akan menganggu kadar metabolisme dan perkembangan hormon anda.
- Senaman untuk kekal aktif, peka dan sihat
- Senaman yang kerap bukan sahaja mampu membuatkan anda sihat, bahkan turut membantu meningkatkan sistem imun, metabolisme, endorfin dan kepekaan anda.
- Senaman di pagi hari akan membantu membuatkan anda lebih bertenaga dan cergas sepanjang hari.
- Hadkan bercakap mengenai kerja ketika di rumah
- Pastikan perbualan mengenai kerja adalah sangat minimum apabila anda di rumah. Namun anda boleh berkongsi tentang kisah-kisah kelakar dan yang memberi inspirasi berkaitan kerja bersama ahli keluarga di meja makan.
- Bukan setakat anda sahaja yang berjaya berehat daripada berfikir mengenai bebanan kerja, bahkan memberi peluang kepada ahli keluarga anda untuk menghargai dan mengambil berat mengenai diri anda berbanding kerja anda ketika meluangkan masa.
- Cari kerjaya atau jawatan baru
- Sesetangah kerja memerlukan anda menyelesaikan tugasan diluar keupayaan anda. Jika anda mendapati bahawa masa yang diluangkan di tempat kerja tidak berbaloi dengan bayaran yang diterima, pertimbangkan untuk bertukar tugasan antara jabatan atau jawatan di dalam syarikat anda bekerja.
- Jika anda mampu, kurangkan beban kerja anda dan lakukan kerja sampingan atau mula pertimbangkan untuk bekerja di tempat lain.
- Rancang masa untuk diluangkan bersama rakan dan pasangan
- Tetapkan masa pada setiap minggu dalam kesibukan anda untuk keluar bersama kawan-kawan atau pasangan. Menonton wayang atau makan malam bersama. Elakkan keluar bersama rakan pejabat (melainkan pasangan anda adalah rakan sepejabat) dan jangan bercakap hal pejabat.
- Susun dan semak keutamaan kerja dan tugasan
- Senaraikan segala tugasan yang anda sering lakukan setiap minggu dan tentukan tugasan yang mana yang lebih penting yang tidak perlu dilakukan.
- Anda juga boleh mencari cara mengurangkan tugasan anda seperti membeli-belah secara atas talian, hantar pakaian kotor anda ke dobi atau upah sesiapa untuk melakukan kerja anda.
- Peruntukkan masa untuk bersendirian
- Hargai masa untuk bersendirian seperti melakukan hobi atau apa sahaja yang anda minati untuk mengelakkan anda berfikir mengenai kerja.
- Masa untuk diri sendiri juga boleh jadi produktif. Jadikan ianya masa untuk memperbaiki dan muhasabah diri. Anda boleh mengambil kelas kemahiran, belajar bahasa asing atau ke gym.
- Mengambil masa untuk memperbaiki kualiti hidup anda adalah cara anda menghargai diri anda.
- Tutup gajet yang berkaitan dengan kerja (telefon, email dll)
- Dalam waktu tertentu dalam setiap hari, latih diri anda untuk menutup gajet anda. Sama ada sejurus selepas kerja atau sebelum makan malam.
- Jadikan ianya kebiasaan untuk menjauhi hal kerja apabila anda sepatutnya melakukan aktiviti peribadi. Melainkan kerjaya anda adalah jenis 'on-call' maka tips ini adalah sukar untuk diamalkan.
Post a Comment